TIKAM RAKAN ASRAMA , PELAJAR SEKOLAH MENENGAH DITAHAN

12/06/2024 08:52 PM

IPOH, 12 Jun (Bernama) -- Polis menahan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun disyaki terbabit dalam pergaduhan sehingga menyebabkan kecederaan di sebuah sekolah menengah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata pelajar itu ditahan pada 6 petang semalam susulan laporan warden asrama sekolah itu mengenai pergaduhan melibatkan dua pelajar.

"Mangsa dan suspek merupakan rakan asrama. Mangsa telah ditikam di bahagian dada, belakang badan dan paha sebelah kanan dengan dua bilah pisau. Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Seri Botani di sini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abang Zainal berkata pihaknya akan mengambil keterangan saksi-saksi bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kes tersebut supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Jagdeep Singh di talian 019-442 4361 atau tampil di balai polis berhampiran. 

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood dalam kenyataan berkata seorang lelaki berusia 38 tahun ditahan kerana melakukan perbuatan khianat dan ugutan jenayah terhadap kakaknya setelah tidak berpuas hati dengan pembahagian harta.

Zulkifli berkata menurut laporan pada 3.21 pagi tadi, suspek bersama ibu bapanya pergi ke rumah kakaknya di Kampung Jagor dengan memandu dalam keadaan tergesa-gesa sebelum melanggar dua tiang lampu solar di hadapan rumah tersebut.

Beliau berkata sebaik pulang ke rumah di Kampung Padang, lelaki itu memecahkan peralatan sehingga menyebabkan ketakutan pada ibu bapanya.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan