LELAKI DITAHAN DISYAKI PECAH RUMAH, MAHU PENUHI KEINGINAN ISTERI BERCUTI

13/06/2024 04:25 PM

KUALA NERANG, 13 Jun (Bergambar) -- Seorang lelaki yang disyaki aktif melakukan jenayah pecah rumah di Padang Terap hingga menyebabkan kerugian mencecah RM40,000, ditahan di sebuah rumah di Felda Lubuk Merbau, akhir bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Padang Terap DSP Mulkiaman Manzar berkata lelaki berusia 31 tahun itu ditahan pada 12.30 tengah malam, 31 Mei oleh sepasukan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap.

Beliau berkata suspek yang berasal dari Sik itu mengaku terlibat dalam 21 kes pecah rumah di daerah itu dan dikatakan melakukan jenayah terbabit bagi memenuhi keinginan isterinya untuk pergi bercuti serta membayar hutang skim pembiayaan kredit.

“Suspek bergerak secara bersendirian melakukan jenayah itu di sekitar kawasan Felda Lubuk Merbau dan Naka dekat sini. Dia juga melakukan pecah kenderaan dan mencuri barangan berharga di tempat letak kenderaan dan rumah-rumah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut menahan isterinya yang berusia 30 tahun di rumah mereka di Felda Lubuk Merbau dekat sini pada 3 Jun lepas untuk membantu siasatan.

Mulkiaman berkata polis merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk pecah rumah di rumah suspek termasuk gunting pemotong besi dan sarung tangan selain sebuah kereta yang disyaki digunakan suspek untuk melakukan jenayah itu.

“Hasil siasatan lanjut terhadap suspek, polis menahan seorang lelaki berusia 40-an yang membeli barangan curi dan berjaya menjumpai semula sejumlah barangan yang disyaki dicuri oleh suspek termasuk tong gas, peralatan elektrik dan telefon bimbit.

“Lelaki itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya direkodkan,” katanya.

Beliau berkata isteri suspek juga telah dibebaskan dengan jaminan polis pada 7 Jun manakala suspek direman hingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457, Seksyen 448 serta Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan