POLIS LUMPUHKAN SINDIKET PENIPUAN GUNA FAIL APK

15/06/2024 11:31 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Polis berjaya melumpuhkan sindiket penipuan yang menggunakan fail aplikasi (APK) susulan dua lelaki tempatan ditahan dalam serbuan di Pulau Pinang dan Johor pada Rabu lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata kedua-dua individu terbabit berumur 27 dan 48 tahun serta pihaknya merampas tiga telefon bimbit, pasport, kad pengenalan dan jam tangan dengan rampasan dianggarkan bernilai RM6,000.

Beliau berkata siasatan mendapati dua lelaki itu disyaki ahli sindiket “Trojan Spymax” yang terlibat secara langsung dengan sindiket penipuan di rantau Asia khususnya di Singapura dengan berperanan sebagai penjual malware (perisian hasad) dan pengurus sewaan server (pelayan) yang menempatkan fail APK.

“Hasil siasatan, sindiket ini menawarkan jualan produk dan perkhidmatan melalui media sosial Facebook, Instagram dan seumpamanya dengan mangsa yang berminat untuk membeli produk akan diberikan pautan fail APK (android package kit) yang perlu dipasang (install) ke telefon mereka sebagai sebahagian daripada proses pembelian.

“Fail APK yang diberi merupakan perisian bersifat malicious dan ia boleh menggodam telefon mangsa seterusnya memberikan akses kepada sindiket penipuan untuk membaca one time password (otp) pada sistem pesanan ringkas, screen mirror, contact list, dan remote access kepada peranti milik mangsa,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata kesemua tangkapan dan rampasan akan diserahkan kepada pihak berkuasa Singapura bagi tujuan pendakwaan.

Ramli berkata operasi terbabit merupakan hasil kerjasama selama setahun bersama polis Singapura dalam mengenal pasti, mengumpul dan mengesahkan identiti ahli sindiket yang berselindung di sebalik teknologi, sekali gus berjaya melumpuhkan infrastruktur dan gerak kerja sindiket malware APK di rantau ini.

“Orang ramai diminta supaya berhati-hati ketika memuat turun dan memasang sebarang perisian pada peranti masing-masing.

“Sebarang muat turun fail aplikasi ke telefon pintar hendaklah dilakukan melalui platform yang selamat seperti Google Play dan App Store sahaja,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan