POLIS TAHAN DALANG SINDIKET KES WANG DALAM AKAUN HILANG LIBATKAN RM24.2 JUTA

16/06/2024 11:03 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki disyaki dalang sindiket yang terbabit dalam kes mengeluarkan wang daripada beberapa akaun simpanan tetap melibatkan kerugian sebanyak RM24.2 juta.

Penahanan lelaki berusia 40-an itu di Sabah pada Jumaat dibuat setelah polis menahan seorang wanita yang merupakan kakitangan sebuah bank di Kota Kinabalu, Sabah, 13 Jun lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Mohamed Ramli Yoosuf berkata lelaki itu  dipercayai terlibat secara langsung dalam kes tersebut.

“Setakat ini, kita menahan dua individu dan percaya lebih ramai lagi yang terbabit dalam sindiket pakatan jenayah ini sehingga berlakunya transaksi pengeluaran wang daripada akaun simpanan tetap,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Ramli berkata siasatan menunjukkan terdapat penglibatan ahli sindiket dari dalam dan luar bank yang bersubahat bagi urusan pengeluaran wang kerana ia hanya boleh dilakukan melalui pakatan dalaman bank.

Beliau berkata pihaknya menerima empat laporan daripada pemilik akaun dan kakitangan bank pada awal Jun lepas di Petaling Jaya, Selangor apabila mangsa menyedari terdapat pengeluaran wang mencurigakan yang dilakukan secara tunai di Kota Kinabalu membabitkan beberapa akaun simpanan tetap.

Ramli berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihaknya sedang mengesan serta mengenal pasti beberapa individu lain yang terbabit.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan