POLIS TAHAN SEORANG LELAKI, RAMPAS GANJA BERNILAI LEBIH RM170,000

18/06/2024 02:02 PM

KUANTAN, 18 Jun (Bernama) -- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang menahan seorang lelaki serta merampas 56.22 kilogram (kg) dadah jenis ganja yang dianggarkan bernilai RM173,600, iaitu rampasan terbesar di Pahang tahun ini.  

Pemangku Ketua Polis Pahang DCP Datuk Noor Hisam Nordin berkata lelaki berumur 39 tahun yang dipercayai 'tokan' besar atau pengedar dadah itu diberkas hasil serbuan di kawasan tepi jalan di Lorong Seri Mahkota Permai di sini Sabtu lepas, kira-kira 1.30 tengah hari susulan dua bulan intipan.

Beliau berkata suspek ketika itu berada dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi disyaki sedang menunggu pelanggan dan pihaknya menemukan 54 ketulan mampat dedaun kering kehijauan dipercayai ganja dalam bonet kereta itu.

“Hasil risikan mendapati suspek bekerja sendiri, pengedar utama atau 'tokan' besar yang mana sumber dadah itu diambil dari negara jiran dan pasarannya di Pahang dan sudah menjalankan kegiatan ini hampir setahun," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pahang di sini hari ini.

Noor Hisam berkata dadah yang dirampas boleh digunakan oleh lebih 56,000 penagih dan dengan tertangkapnya suspek, JSJN Pahang berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran ganja di sekitar Kuantan. 

Beliau berkata pemeriksaan mendapati lelaki warga tempatan itu positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai 13 rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Lelaki itu direman tujuh hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan