PRK SG BAKAP: POLIS PULAU PINANG KENAL PASTI KAWASAN PANAS

18/06/2024 03:16 PM

GEORGE TOWN, 18 Jun (Bernama) -- Polis Pulau Pinang mengenal pasti beberapa lokasi "hotspot" atau panas di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu yang bermula secara rasmi Sabtu ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata namun pengundi atau penduduk kawasan itu tidak perlu bimbang atau risau kerana pihak polis sudah mengambil semua langkah termasuk tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi menghadapi PRK Sungai Bakap.

"Polis berada pada tahap siap sedia tertinggi dalam persiapan untuk berdepan dengan PRK DUN Sungai Bakap dan setakat ini kita juga kenal pasti beberapa kawasan panas selain kenal pasti kawasan-kawasan lain di situ yang mungkin menjadi lokasi panas," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau berkata seramai 1,000 pegawai dan anggota polis kontinjen Pulau Pinang akan bertugas sepanjang PRK Sungai Bakap iaitu bermula daripada penamaan calon sehingga proses pengundian bagi memastikan kelancaran proses demokrasi itu.

"Setakat ini, Polis Pulau Pinang akan menggunakan sumber yang ada (anggota dan pegawai dari Kontinjen Pulau Pinang) untuk bertugas sepanjang tempoh PRK Sungai Bakap melainkan jika ada keperluan mendesak kita akan mohon bantuan dari negeri lain," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai sebagai hari mengundi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandang Nor Zamri Mohd Nor pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan