POLIS PERAK TIDAK TERIMA LAPORAN KEHILANGAN PEMANDU E-HAILING

18/07/2024 07:03 PM

IPOH, 18 Julai (Bernama) -- Polis Perak tidak menerima sebarang laporan berhubung seorang pemandu e-hailing dari Kuala Lumpur yang dilaporkan hilang selepas menghantar penumpang ke Teluk Intan pada 11 Julai lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata bagaimanapun, pihaknya sedia memberi kerjasama sekiranya terdapat bukti mangsa berusia 33 tahun itu masih berada di sekitar negeri ini.

“Jika kehilangan itu berlaku di negeri ini, maka sudah tentu kita beri kerjasama, namun siasatan sudah tentulah dilakukan di bawah balai negeri berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Dalam satu laporan media semalam, mangsa Syahrul Ashraf Dahlan yang tinggal di Pandan Indah, Kuala Lumpur gagal dihubungi selepas kali  terakhir mangsa memaklumkan kepada ahli keluarga melalui aplikasi WhatsApp bahawa dia akan menghantar penumpang ke Teluk Intan.

Satu laporan polis berhubung kehilangan itu telah dibuat di Balai Polis Pandan Indah, Kuala Lumpur oleh ahli keluarganya pada 11 Julai lepas.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan