INOVASI PERISAI BADAN BANTU POLIS HADAPI ANCAMAN FIZIKAL

19/07/2024 04:43 PM

ALOR SETAR, 19 Julai (Bernama) -- Pasukan inovasi polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, Perak, T-MALIM, mencipta perisai pelindung badan (body shield protector) (BSP) bagi membantu anggota penguat kuasa itu berdepan ancaman fizikal semasa di lapangan.

Siap direka bentuk awal Januari lepas, alat bantuan khas itu membantu penugasan ronda khususnya untuk anggota Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Ronda Cegah Jenayah.

Ketua T-MALIM, ASP Nor Afizah Md Nasir berkata kumpulan yang terdiri daripada tiga pegawai kanan dan lima anggota pangkat rendah itu telah menghasilkan BSP rentetan arahan Ketua Polis Negara yang mahukan Cawangan MPV menggunakan satu alat perlindungan semasa menangani orang kurang siuman, mabuk dan mengamuk di lapangan.

“Idea ini tercetus pada Mei 2023 dan kami telah berbincang dan membuat kajian untuk melihat bagaimana hendak menghasilkan perisai badan yang boleh digunakan dengan cepat, mudah dikendalikan, mudah dibawa, senang disimpan serta memakan kos penghasilan yang murah.

“Perisai badan sedia ada yang digunakan mempunyai limit dari segi saiz yang memakan ruang penyimpanan serta tidak boleh digunakan oleh anggota URB dan Ronda Cegah Jenayah yang menggunakan motosikal,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Beliau berkata prototaip BSP itu telah dibangunkan beberapa kali sebelum siap sepenuhnya Januari lepas dengan bahan yang digunakan sama seperti perisai badan sedia ada namun dengan saiz dan berat yang berbeza. 

“Kami berharap penghasilan BSP ini dapat memudahkan lagi penugasan anggota di lapangan dan dalam masa yang sama dapat memastikan setiap anggota yang bertugas berada dalam keadaan selamat dan tidak terancam,” katanya.

BSP diperkenalkan kepada umum pada Majlis Sambutan Inovasi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah semalam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan