KOPERAL POLIS MENGAKU TIDAK BERSALAH MINTA, TERIMA RASUAH

22/07/2024 01:54 PM

ALOR SETAR, 22 Julai (Bernama) -- Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah, dua tahun lepas.

Sazali Lokhman, 32, membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak itu didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan tersebut sebagai dorongan untuk membantu menurunkan seksyen kesalahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang ditangkap polis di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan RM40,000 daripada seorang wanita berusia 26 tahun bertempat di Jalan Industri Darulaman 1, Kawasan Perusahaan Bandar Darul Aman, Kubang Pasu pada lebih kurang 2 petang, 29 Nov 2022.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa secara rasuah menerima suapan RM10,000 daripada wanita berkenaan di dalam sebuah kereta di lokasi dan masa yang sama.

Sementara bagi pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa secara rasuah menerima suapan RM9,000 daripada seorang lelaki berusia 30 tahun di hadapan sebuah premis di Jalan Langgar, di sini pada lebih kurang 9 malam, 30 Nov 2022.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM60,000 bagi kesemua pertuduhan sebelum peguam yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan minimum memandangkan tertuduh hanya memperoleh pendapatan bersih sekitar RM1,500 sebulan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Zulfadli Azharudin, manakala Sazali diwakili peguam Muhamad Samsul Nizam Sohhimi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan