POLIS TAHAN TIGA LELAKI TERLIBAT KES RUSUHAN DI PASAR MALAM SIBU

23/07/2024 05:03 PM

SIBU, 23 Julai (Bernama) -- Tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia ditahan disyaki terlibat kejadian rusuhan di tapak pasar malam Sibu di Jalan Cross, semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili dalam kenyataan hari ini berkata tangkapan ke atas ketiga-tiga lelaki berusia 31 dan 35 tahun itu dibuat sejurus menerima laporan kejadian berkenaan pada 8.46 malam.

Beliau berkata semakan polis mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan  polis kini giat mengesan suspek lain yang masih bebas.

Kejadian dilaporkan berlaku apabila seorang individu yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk melakukan gangguan dan merosakkan gerai-gerai jualan di pasar malam berkenaan.

Berang dengan perbuatan tersebut, beberapa individu membelasah suspek menyebabkan dia mengalami kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427/147 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap harta benda dan merusuh di tempat awam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi polis di talian 084-344111 atau pegawai penyiasat Insp Ahmad Zam Zam Ismail di talian 014-9067909.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan