POLIS TAHAN DUA LELAKI, RAMPAS 28 KETULAN GANJA BERNILAI RM90,000

23/07/2024 05:45 PM

ALOR SETAR, 23 Julai (Bernama) -- Polis merampas 28 ketulan mampat dadah jenis ganja yang dianggarkan bernilai RM90,000 dalam serbuan di dua lokasi di sini semalam dan Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Siti Nor Salawati Saad berkata rampasan dilakukan susulan penahanan dua lelaki berumur 32 dan 22 tahun di sebuah rumah di Mukim Gunung, di sini pada 2.55 petang, Ahad lalu.

Beliau berkata hasil soal siasat dijalankan ke atas dua lelaki itu membawa kepada penemuan 24 ketulan mampat disyaki ganja seberat 24.92 kilogram (kg) di sebuah rumah di kawasan Taman Lumba Kuda, di sini.

“Dadah itu ditemui di dalam guni di rumah berkenaan. Hasil siasatan lanjut polis kemudiannya menemui empat lagi ketulan mampat ganja seberat 3.9 kg di sebuah rumah di Mukim Gunung pada keesokannya.

“Sebanyak 28 ketulan ganja dianggarkan bernilai RM90,000 berjaya dirampas dan kita percaya rumah-rumah yang disewa ini dijadikan transit penyimpanan sebelum diedarkan kepada penagih di sekitar daerah Kota Setar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengikut Siti Nor Salawati, pihaknya percaya kesemua dadah terbabit dibawa masuk dari negara jiran dan aktiviti pengedaran bahan terlarang oleh dua suspek itu disyaki bermula sejak awal tahun ini.

“Hasil semakan mendapati suspek berusia 32 tahun berstatus duda itu turut memiliki 12 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala rakannya yang menganggur tidak memiliki rekod jenayah lampau.

“Kedua-dua mereka didapati positif dadah hasil ujian air kencing yang dijalankan dan direman tujuh hari sehingga 28 Julai depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan