Polis Gagalkan Cubaan Seludup Dadah Guna Kotak Makanan Di Klia Terminal 2

25/07/2024 11:53 AM

SEPANG, 25 Julai (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di sini pada Jumaat lepas kerana disyaki cuba menyeludup dadah bernilai RM504,000 ke Sarawak. 

Dalam sidang media di sini hari ini, Ketua Polis Daerah KLIA ACP Azman Shari’at berkata lelaki berusia 19 tahun itu ditahan selepas imbasan kotak makanan miliknya menunjukkan imej yang mencurigakan. 

“Pemeriksaan lanjut terhadap kotak itu telah menjumpai 15 bungkusan plastik warna hijau bertulis 'Qing Shang' di dalamnya mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 15,750 gram.

“Modus operandi suspek adalah menyorokkan dadah dalam kotak yang di dalamnya juga terdapat bungkusan makanan ringan seperti mee segera bagi mengaburi pihak keselamatan,” katanya. 

Beliau berkata suspek juga dipercayai menggunakan perkhidmatan daftar masuk sendiri yang dianggap sukar untuk dikesan oleh pihak berkuasa untuk menyeludup dadah.

“Siasatan awal mendapati suspek datang ke Kuala Lumpur seorang diri pada 18 Julai lepas bertujuan mendapatkan bekalan dadah ke Sarawak.

“Suspek itu akan berlepas ke Sarawak pada pukul 10 malam hari beliau ditahan.

“Jumlah keseluruhan dadah dirampas ini boleh digunakan seramai 78,700 orang penagih mengikut sekali penggunaan 0.2 gram,” katanya dengan menambah bahawa suspek mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah.

Azman berkata suspek dipercayai menerima upah RM3,000 bagi setiap perjalanan membawa bekalan dadah ke Sarawak.

“Kita sedang siasat sama ada beliau adalah keldai dadah atau sebahagian daripada sindiket,” katanya.

Suspek direman selama tujuh hari hingga esok bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Polis telah mempertingkatkan kawalan dan risikan susulan pertambahan cubaan menyeludup dadah di KLIA Terminal 1 dan 2.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan