Rasuah Projek Hampir RM110 Juta: Individu Bergelar Datuk Antara Tiga Ditahan

31/07/2024 11:46 AM

PUTRAJAYA, 31 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu termasuk bekas pegawai di satu anak syarikat milik penuh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bergelar ‘Datuk’ disyaki menerima rasuah membabitkan satu projek perumahan berjumlah hampir RM110 juta.

Menurut sumber, ketiga-tiga lelaki berusia 40 hingga 60-an itu ditahan ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini antara 6.30 hingga 7 petang, semalam. 

“Seorang lagi individu turut hadir memberi keterangan, namun dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan dirakamkan,” menurut sumber itu.

Menurut sumber, kesemua mereka dipercayai menerima wang rasuah daripada satu syarikat pembinaan sebagai balasan bagi menandatangani perjanjian pembangunan tambahan (SDA) membabitkan projek pembangunan Rumah Aspirasi Rakyat daerah Kuantan tanpa kelulusan Lembaga Pengarah SPNB.

"Perjanjian yang ditandatangani ini dipercayai mengandungi klausa yang berat sebelah sehingga menyebabkan SPNB menanggung kerugian mencecah puluhan juta ringgit,” menurut sumber. 

Kesemua mereka direman selama lima hari bermula semalam hingga 3 Ogos ini selepas Majistret Irza Zulaikha Burhanuddin membenarkan permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam. 

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan kesemua suspek.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan