PRK Nenggiri: Polis Buka Kertas Siasatan, Ahli Politk Keluarkan Kenyataan Sensitif

08/08/2024 01:18 PM

KOTA BHARU, 8 Ogos (Bernama) -- Polis Kelantan membuka satu kertas siasatan berhubung video ceramah seorang ahli politik yang mengeluarkan kenyataan sensitif pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata kes berkenaan disiasat di bawah  Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata orang ramai diminta dan dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini.

“Polis sedang menyiasat kes berkenaan dan saya meminta kepada pihak-pihak yang terlibat untuk berkempen secara aman dan tidak mencetuskan provokasi.

"Siasatan lanjut juga sedang dijalankan berikutan kenyataan berkenaan juga tular di media sosial," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Balai Polis Kok Lanas, di sini hari ini.

Sebelum ini, tular satu kenyataan seorang ahli politik di YouTube berhubung isu sebahagian besar permohonan pemilikan tanah yang sudah diluluskan oleh kerajaan negeri tidak diselesaikan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan.

Sementara itu, mengulas mengenai perjalanan PRK DUN Nenggiri, Muhamad Zaki berkata setakat ini tempoh berkempen PRK DUN Nenggiri berlangsung dengan lancar dan baik.

“Saya juga mendapati tidak ada mana-mana parti politik yang mensabotaj bendera parti antara satu sama lain dan ini menunjukkan mereka bertanding dengan matang pada PRK ini.

“Saya berharap agar tempoh perjalanan PRK DUN Nenggiri ini berjalan dengan lancar sehingga ke hari mengundi pada 17 Ogos ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata jumlah anggota polis juga telah mencukupi untuk memantau serta membuat kawalan pada PRK DUN Nenggiri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan