SUKAN > BERITA

SUKMA: Separuh Pemain Baharu, Sabah Tetap Yakin Dua Pingat Emas

08/08/2024 03:36 PM

KOTA KINABALU, 8 Ogos (Bernama) -- Membariskan separuh pemain baharu yang kali pertama menyertai Sukan Malaysia (SUKMA), pasukan tenpin boling Sabah tetap yakin mampu membawa pulang lebih daripada dua pingat emas disasarkan dalam temasya edisi ke-21 di Sarawak itu.

Pengurus Pasukan SUKMA Tenpin Boling Sabah Mohd Kamsul Syah Kassim berkata Sabah akan menghantar seramai 12 pemain dan daripada jumlah itu, enam pemain baharu termasuk tiga wanita menyertai pasukan berkenaan yang dilihat berpotensi untuk memberi cabaran sengit.

 "Kita akan bertanding dalam enam kategori iaitu perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita, beregu campuran, trio lelaki dan wanita, berpasukan lelaki dan wanita, serta master lelaki dan wanita," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Acara tenpin boling bakal berlangsung di Megalanes Sarawak di Kuching bermula 14 hingga 20 Ogos ini.

Mohd Kamsul Syah berkata meskipun skuad itu membariskan ramai pemain baharu, namun prestasi ditunjukkan oleh setiap pemain dilihat mampu memberi saingan sengit kepada pihak lawan kerana mereka yang terpilih ke SUKMA ke-21 adalah daripada kalangan yang terbaik.

Beliau berkata jadual pemain lelaki dan wanita juga telah disusun iaitu bagi pasukan lelaki akan berlatih pada hari Isnin hingga Jumaat, manakala pasukan wanita pada hari Isnin, Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad selama dua hingga tiga jam setiap kali sesi latihan.

Sementara itu, Presiden Tenpin Boling Sabah Rozainisham Talib menitipkan kata-kata semangat kepada skuad tenpin boling yang akan berlepas ke Sarawak hari ini agar sentiasa fokus dan menjaga kesihatan sepanjang kejohanan berlangsung.

Beliau yakin setiap pemain sudah berada dalam keadaan yang bersedia dari segi mental dan fizikal untuk memberikan persembahan terbaik dalam SUKMA nanti.

"Saya yakin setiap pemain, mahupun ada yang baru pertama kali menyertai SUKMA pada tahun ini, akan memberi saingan yang hebat kepada negeri-negeri lain dan mampu membawa pingat untuk tenpin boling khususnya dan Sabah amnya," katanya.

Berikut senarai 12 pemain pasukan tenpin boling Sabah dalam SUKMA Ke-21 di Sarawak

 

Lelaki:

1. Nabil Aiman Mantaip 

2. Emmanual Foo

3. Brendon Liew Tze Hao

4. Aaron Liew Tze Hao (baharu)

5. Bryan Liew Tze Vui (baharu)

6. Mohd Haziq Saiful (baharu)

 

Wanita :

1. Cara Loh Wah Theng

2. Intan Qistina Tamring

3. Nurul Amirah Amirul

4. Nur Jeehan Iezzaty Suffian (baharu)

5. Nur Aleeya Syakirah Awang Ali (baharu)

6. Nurul Waheedah Polinu (baharu)

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan