JTKSM Siasat Majikan Tidak Sedia Tempat Tinggal Kondusif Untuk 30 Pekerja Di Cyberjaya

16/08/2024 10:57 AM

CYBERJAYA, 16 Ogos (Bernama) -- Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) telah membuka siasatan berhubung keadaan 30 pekerja pembinaan warga Bangladesh yang tinggal berhimpit-himpit tanpa kemudahan sepatutnya dalam tiga unit apartment di sini.

Ketua Pengarah JTKSM Kamal Pardi berkata keadaan tempat tinggal pekerja warga asing itu terbongkar susulan serbuan yang dilakukan secara bersepadu agensi itu bersama Majlis Perbandaran Sepang dan polis di apartment berkenaan awal pagi tadi.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati setiap kediaman itu dihuni sembilan hingga 15 orang pekerja, dan kediaman itu juga didapati tidak menyediakan kemudahan yang telah ditetapkan seperti katil, tilam dan almari berkunci.

Kediaman itu juga didapati tidak mempunyai perabot, manakala pekerja-pekerja yang mendiami unit itu didapati tidur beralaskan tikar, di samping turut memasak makanan di atas lantai sahaja, menyebabkan keadaan menjadi kotor dan tidak terurus.

“JTKSM mahu majikan menyediakan tempat tinggal yang selesa termasuk dengan menggunakan apartment seperti ini namun ia harus mematuhi peraturan dan diberikan perakuan oleh JTKSM,” katanya kepada media selepas operasi berkenaan di sini, hari ini.

Kamal berkata siasatan dilakukan mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 serta Akta Kerja 1955, dan pemilik tiga unit apartment yang menyewakan premis itu juga akan dipanggil bagi membantu siasatan.

“Operasi bersepadu seumpama ini akan diteruskan bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang perburuhan negara dapat disebarluaskan dan khidmat nasihat dapat diberikan secara terus kepada para majikan. 

“Operasi ini juga sangat perlu dalam memastikan semua pemain industri meningkatkan pematuhan terhadap semua akta yang dikuatkuasakan di bawah Kementerian Sumber Manusia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan