PRK Nenggiri: Polis Terima 18 Laporan, Buka Enam Kertas Siasatan

17/08/2024 04:12 PM

GUA MUSANG, 17 Ogos (Bernama) -- Polis menerima 18 laporan dan membuka enam kertas siasatan berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri sejak semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata enam kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954; Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia; dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 12 laporan lagi membabitkan kes-kes terpencil.

“Walaupun terdapat sedikit kekecohan kecil berlaku di antara penyokong parti yang berkumpul di pusat pengundian Sungai Asap pagi tadi, namun perkara itu telah diselesaikan oleh pihak polis.

“Alhamdulillah, setakat ini saya menyifatkan PRK DUN Nenggiri yang berlangsung hari ini terkawal dalam keadaan harmoni,” katanya dalam sidang media selepas melawat pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Asap di sini hari ini.

Mengenai tempoh kempen 14 hari yang berakhir tengah malam semalam, Muhamad Zaki berkata berdasarkan pemantauan pihaknya kempen berjalan dengan baik walaupun ada laporan polis diterima.

“Kesemua siasatan akan dijalankan segera dan diserahkan kepada pihak timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau turut menasihatkan parti bertanding berlapang dada apabila keputusan PRK DUN itu diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan tidak membuat sebarang provokasi.

“Kami berharap semua pihak menjadi matang dan parti politik yang menang boleh meraikan kemenangan di markas masing-masing,” katanya sambil menambah pihaknya menempatkan pegawai dan anggota polis sebagai persediaan. 

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

Seramai 20,259 pengundi berdaftar layak mengundi pada PRK itu dengan 20,216 daripadanya terdiri pengundi biasa dan 43 lagi pengundi pos.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan