Mahkamah Tetapkan 24 Oktober Sebutan Semula Kes Bekas Banduan Sokong IS

19/08/2024 02:33 PM

KOTA BHARU, 19 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 24 Okt depan untuk sebutan semula kes seorang bekas banduan dituduh memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Islamic State (IS) dan memberikan sokongan kepada kumpulan itu pada Jun lepas.

Nik Mohd Shalahuddin Zakaria, 40, mengangguk faham apabila pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Zulkifli menetapkan tarikh itu untuk mendapatkan laporan pakar bagi analisa kandungan barang kes berkaitan kumpulan pengganas itu yang  belum diperoleh.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Nik Mohd Shalahuddin didakwa memiliki 1,020  keping gambar, 26 video dan 321 artikel dalam bentuk format dokumen mudah alih (PDF) di dalam telefon bimbit serta memiliki 378 keping gambar, 36 video dan 244 artikel dalam bentuk PDF di dalam sebuah lagi telefon bimbit.

Ia yang merupakan barang yang mempunyai kaitan dengan perlakuan perbuatan pengganas serta kumpulan pengganas IS, dan kedua-dua perbuatan itu dilakukan di Kota Jembal di sini pada 9.15 pagi 10 Jun lepas.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama, yang menetapkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda, dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu.

Bagi pertuduhan ketiga lelaki itu didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS dengan cara menggunakan aplikasi media sosial Facebook atas nama Ahmad Saif Al-Islam Il, dan kesalahan itu dikesan pada 10.15 malam di lbu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, pada 10 Jun 2024 

Bagi pertuduhan keempat pula Nik Mohd Shalahuddin didakwa mengaku keahlian kumpulan IS dengan cara melakukan upacara baiah dengan Abu Hafs Al-Hashimi Al-Qurashi iaitu pemimpin IS sebagai khalifah untuk memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS di Kota Jembal, di sini , pada 10 Jun lepas.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, lelaki itu didakwa mengikut perenggan 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah peruntukan sama, hukuman penjara maksimum 40 tahun atau denda, dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad memaklumkan kepada Hakim bahawa hari ini ditetapkan untuk serahan dokumen kepada pihak pembelaan.

Ahmad Faiz turut memohon tarikh lain untuk sebutan kes seterusnya sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan