900 Majikan Upah PATI Ditahan Bagi Tempoh 1 Jan Hingga 16 Ogos - JIM

19/08/2024 06:39 PM

PUTRAJAYA, 19 Ogos (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak sesekali berkompromi dengan majikan yang menggaji pendatang tanpa izin (PATI) dan tindakan tegas akan diambil.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata seramai 900 majikan kebanyakan rakyat tempatan ditahan bagi tempoh 1 Jan hingga 16 Ogos kerana menggaji PATI.

Dalam tempoh itu juga, beliau berkata sebanyak 11,903 operasi dijalankan dan pemeriksaan di 106,432 lokasi menyaksikan penahanan seramai 29,030 PATI yang menyalahi Akta Imigresen dan Akta Pasport. 

"Bagi tempoh sekarang sehingga akan datang antara fokus utama JIM untuk mengenal pasti majikan yang menggaji PATI. Di luar sana ramai PATI, siapa yang menyumbang kepada ramai PATI yang bekerja … majikan kita (tempatan).

“Kalau majikan tidak ambil PATI bekerja maka kita tidak jumpa di kedai-kedai," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ruslin berkata beliau menerima banyak aduan mengenai keberadaan PATI di kedai-kedai makan dan majikan bakal berdepan tindakan tegas kerana menggaji PATI yang tiada dokumen sah atau tinggal melebihi tempoh masa ditetapkan.

"Peringatan kepada majikan jangan sesekali menggaji PATI. Ini menjadi satu kesalahan besar di bawah Akta Imigresen. Sesiapa yang datang (bekerja) perlu mengikut proses yang betul," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan