Lapan Pendatang Tanpa Izin, Tekong Darat Ditahan Di Pontian

19/08/2024 05:32 PM

JOHOR BAHRU, 19 Ogos (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor menahan lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan dipercayai tekong darat di kedudukan 7.3 batu nautika timur laut Pulau Pisang, Pontian semalam.

Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor Kapten Kama Azri Kamil berkata tujuh lelaki dan seorang wanita berusia 24 hingga 60 tahun yang menaiki bot dibawa lelaki tempatan berusia 48 tahun itu, ditahan pada 8.10 pagi oleh anggota bot peronda APMM.

“Bot tersebut bergerak dalam keadaan mencurigakan dan memasuki perairan negeri, anggota kami cuba mengekori namun tidak berjaya kerana bot tersebut menghala ke kawasan air cetek di kawasan kuala Sungai Sanglang.

“Berdasarkan maklumat itu, satu pasukan darat telah diatur gerak ke lokasi yang telah dikenal pasti dan bertindak menahan kesemua lapan warga Indonesia bersama seorang lelaki disyaki tekong darat itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kama Azri berkata kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor untuk siasatan lanjut dan bot fiber berwarna biru tanpa pendaftaran bersama enjin serta sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan untuk mengangkut PATI disita.

Beliau berkata kesemua warga Indonesia tersebut ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63, manakala lelaki tempatan itu pula di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan