SPRM Lumpuhkan Sindiket "Scam" Ubah Suai Meter Elektrik

22/08/2024 10:44 PM

PUTRAJAYA, 22 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya melumpuhkan satu sindiket ‘scammer’ yang meminta wang rasuah kononnya bagi melindungi aktiviti pengubahsuaian meter elektrik di kediaman sekitar Lembah Klang.

Sumber berkata lima ahli sindiket terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 30 tahun ditahan di sekitar Kuala Lumpur semalam.

Menurut sumber modus operandi sindiket itu ialah menghubungi dan menjalankan pemeriksaan di premis pelanggan dan mengatakan bahawa mangsa telah mengubah suai meter elektrik tanpa kebenaran. 

“Mangsa diugut akan dikenakan tindakan saman dengan nilai puluhan ribu ringgit jika enggan membayar rasuah bagi melindungi kesalahan ini.

“Jumlah wang rasuah dianggarkan bernilai antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi setiap premis yang diperiksa bergantung sama ada premis kediaman atau perniagaan,” katanya. 

Sumber berkata dalang sindiket berusia 30-an dan dua lagi ahli kumpulan itu merupakan kontraktor syarikat pembekal tenaga elektrik bagi menjalankan kerja-kerja memotong bekalan elektrik. 

“Dua orang lagi merupakan individu yang terlibat mendapatkan maklumat mengenai mangsa yang dikenal pasti sindiket. Hasil soal siasat turut mendapati sindiket ini telah mengaut ratusan ribu ringgit yang melibatkan ribuan mangsa di seluruh negara,” kata sumber.

Sumber memaklumkan empat lelaki tersebut direman enam hari hingga Selasa depan selepas Majistret Nadiah Abd Razak membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

“Wanita yang ditahan pula dibebaskan dengan jaminan SPRM,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Beliau tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi anggota sindiket akan ditangkap dan dipercayai sindiket itu telah beroperasi lebih setahun.

Orang ramai yang menjadi mangsa sindiket digesa melaporkan kes dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, R Kumaran di talian 03-88911657.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan