Lelaki Rohingya Didakwa Bunuh Isteri, Dua Anak Dan Salah Guna Dadah

29/08/2024 03:34 PM

ALOR SETAR, 29 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki etnik Rohingya dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isteri dan dua anaknya, serta penyalahgunaan dadah.

Abdu Gapur Doli Ahmad, 43, yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian, menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh  isterinya Nor Begam Md Yasin dan anak bongsunya Abdul Hakim Abdu Gapur, berusia setahun 11 bulan.

Kedua-dua kesalahan itu masing-masing didakwa dilakukan di belakang sebuah bangunan kosong, Lebuhraya Sultan Abdul Halim dan di hadapan sebuah premis di Jalan Pegawai antara 11.30 malam 18 Ogos dan 12.30 tengah malam 19 Ogos.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu lelaki itu boleh dihukum mati atau penjara bagi tempoh tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali, jika disabit bersalah.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan, kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 26 Nov sebagai tarikh sebutan semula kes untuk laporan bedah siasat dan forensik.

Sementara itu, di sebuah lagi mahkamah majistret Abdu Gapur didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh anak sulungnya Lianaata Abdu Gapur, 10, di belakang sebuah bangunan kosong di Lebuhraya Sultan Abdul Halim antara 11.30 malam, 18 Ogos dan 12 tengah malam, 19 Ogos.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh dan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah menetapkan 26 Nov sebagai tarikh sebutan semula kes bagi laporan bedah siasat dan forensik.

Di mahkamah sama, lelaki itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan memasukkan ke dalam dirinya dadah berbahaya iaitu Amphetamine, Methamphetamine dan Morphine, di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar pada 1.50 pagi, pada 20 Ogos.

Pendakwaan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang meperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Mahkamah tidak menjatuhkan hukuman bagi kesalahan tersebut sementara menunggu laporan patalogi yang ditetapkan pada 26 Nov.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia M. Kaneson, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan