Suri Rumah Rugi Lebih RM100,000 Terpedaya Sindiket Penipuan

11/10/2024 03:02 PM

KUANTAN, 11 Okt (Bernama) -- Seorang suri rumah mengalami kerugian sebanyak RM103,517.59 selepas terpedaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai pengawai insurans dan pegawai polis. 

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata wanita berusia 54 tahun itu menerima panggilan telefon daripada suspek pada 15 Sept lepas  yang memaklumkan bahawa mangsa terlibat dalam permohonan tuntutan insurans palsu. 

Panggilan itu kemudian disambungkan kepada seseorang yang mengaku sebagai ‘pegawai polis’, yang memberitahu mangsa bahawa waran tangkap akan dikeluarkan ke atasnya kerana terlibat dengan rasuah dan penggubahan wang haram.

“Mangsa diarahkan untuk menukar kad ATM baharu dan menyerahkan maklumat perbankan, serta memindahkan wang simpanan dari akaun ASB dan Tabung Haji ke akaun yang diberikan.

“Pada 10 Okt, setelah membuat semakan di bank, mangsa mendapati wang dalam akaunya telah lesap, menyebabkan kerugian sebanyak RM103,517.59, dan segera membuat laporan di balai polis Raub,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sehubungan itu, orang ramai dinasihati supaya tidak mudah percaya individu tidak dikenali dan membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan