AM

SALURAN SUKAN RTM DILANCAR, WADAH PENYATUAN RAKYAT - SAIFUDDIN

01/04/2021 01:20 PM

KUALA LUMPUR, 1 April -- Saluran Sukan RTM yang dilancarkan hari ini ialah sebagai wadah penyatuan rakyat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata siaran saluran itu selari dengan kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa sukan merupakan platform perpaduan masyarakat, tanpa mengira bangsa dan agama.

"Ada masa (rakyat) siap pakai jersi, kibar bendera walaupun berada di rumah sendiri. Ini adalah saat yang mana satu negara boleh duduk di depan televisyen, menyokong pasukan Malaysia.

"Di situ kita saksikan perpaduan tanpa memerlukan ucapan-ucapan. Perpaduan dan semangat patriotik (menerusi) saluran sukan sangat mustahak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun RTM ke-75 dan Orkestra RTM ke-60, di sini hari ini.

Terdahulu pada majlis sama, beliau melancarkan saluran Sukan RTM yang akan bersiaran selama 24 jam bermula hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai isu cetak rompak karya tempatan yang boleh diakses menerusi aplikasi Telegram dan Android box, beliau berkata pihaknya sedang meneliti untuk meminda beberapa akta.

Ini termasuk Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 serta  Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kita bukan bermaksud nak mengekang kebebasan tetapi pada waktu yang sama, kita harus boleh mempertahankan karya-karya tulen terutamanya karya tempatan.

"Tetapi kita harus melihat perkembangan semasa bagaimana, apa yang boleh diikuti dan apa yang harus kita kawal… bukan niat mengawal dan mengekang kebebasan berkarya," katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan