AM

KPN PERLUAS INISIATIF ‘INI WARISAN KITA’, LAKSANA EMPAT PROGRAM BAHARU - AARON

13/07/2024 11:15 PM

PUCHONG, 13 Julai (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan memperluas inisiatif ‘Ini Warisan Kita’ dengan pelaksanaan empat program baharu di bawah inisiatif berkenaan pada tahun ini.

Menterinya Datuk Aaron Ago Dagang berkata empat program itu ialah Festival Budaya Warisan Sarawak, Festival Budaya Warisan Sabah, Kenali Minoriti Kita dan Bahasa Etnik Minoriti.

“KPN akan memperluas lagi program ‘Ini Warisan Kita’ ke seluruh negara termasuklah pelaksanaannya di peringkat sekolah bagi meningkatkan Iagi pengetahuan, kefahaman dan penghayatan masyarakat pelbagai kaum tentang khazanah warisan negara ini.

“Kementerian akan sentiasa memberi sokongan kepada program bercirikan kebudayaan dan kemasyarakatan kerana ia dilihat berupaya mengeratkan silaturahim, menyatupadukan rakyat dan memperteguh hubungan masyarakat demi kesejahteraan serta keharmonian negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penutupan Gawai Dayak dan Kaamatan 2024 anjuran Persatuan Anak Borneo Semenanjung (ABS) di sini malam ini.

Aaron berkata pada tahun lepas, kementeriannya telah melancarkan inisiatif ‘Ini Warisan Kita’ sebagai satu daripada pengisian utama dalam program Kembara Perpaduan Malaysia MADANI melalui konsep ‘Perpaduan Dalam Kepelbagaian’.

Beliau berkata inisiatif itu untuk menyuntik semangat cinta kepada tanah air melalui penghayatan terhadap kepelbagaian khazanah yang diwarisi negara sejak turun-temurun.

Berkaitan program malam ini, Aaron berkata program seumpama itu mampu membantu masyarakat pelbagai kaum mengenali antara satu sama lain khususnya berkaitan adat dan budaya pelbagai etnik di Malaysia.

“Pendekatan program ini juga bertepatan dengan slogan ‘Segulai Sejalai’ membawa maksud ‘Seiring Sejalan’ yang melambangkan kesatuan, perpaduan serta semangat kerjasama yang utuh rakyat Malaysia,” katanya sambil berharap program sedemikian dapat diteruskan dalam usaha memelihara keharmonian negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan