EKONOMI

FELCRA CATAT RM251.51 JUTA KEUNTUNGAN INTERIM 2/2021

06/11/2021 07:19 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov -- Felcra Bhd (FELCRA) hari ini mengumumkan keuntungan Interim 2/2021 berjumlah RM251.51 juta untuk projek-projek Penyatuan dan Pemulihan (P&P) FELCRA, bagi tempoh kewangan dari 1 Mei hingga 31 Ogos 2021.

Dalam kenyataan hari ini, FELCRA memaklumkan keuntungan yang dijanakan melonjak 155 peratus atau RM152.94 juta lebih tinggi berbanding dengan RM98,565,49, iaitu keuntungan yang direkodkan dalam interim yang sama pada 2020.

Menurut FELCRA, daripada jumlah keuntungan tersebut, seramai 68,930 peserta dari 719 projek yang mencatatkan keuntungan akan menerima agihan interim 2/20210 berjumlah RM131.54 juta secara berperingkat bermula 6 Nov ini.

“Merangkumi tempoh Mei hingga Ogos, agihan bulanan berjumlah RM17.08 juta telah dibayar, menjadikan jumlah besar bayaran agihan interim 2/2021 tercatat sebagai RM148.62 juta.

“Seperti tahun-tahun sebelum ini, baki lebihan keuntungan akan dibayar bersama agihan akhir tahun 2021 setelah penyelarasan akaun dan tabungan dibuat,” menurut FELCRA.

Pengerusi FELCRA Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata hasil kegigihan warga kerja FELCRA serta harga komoditi yang tinggi telah menyumbang kepada kejayaan FELCRA dalam menjana keuntungan yang lebih positif berbanding Interim 2/2020.

“Daripada jumlah keuntungan yang dijanakan untuk tempoh Mei hingga Ogos 2021, FELCRA boleh mengagihkan sejumlah RM148.7 juta kepada peserta yang layak berbanding agihan RM61.1 juta bagi tempoh yang sama pada 2020.

“Jumlah ini merangkumi agihan interim 2/2021, serta agihan bulanan yang telah dibayar bagi tempoh Mei hingga Ogos 2021,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FELCRA, Datuk Mat Roni Zakaria berkata walaupun FELCRA mencatatkan keuntungan yang lebih baik bagi Interim 1 dan Interim 2 tahun 2021 berbanding 2020, FELCRA terus tekad dalam memperbaiki usaha di setiap ladang yang diuruskan, dari Perlis hingga ke Sabah, terutamanya kadar produktiviti, tahap efisiensi dan kos operasi pengurusan ladang para peserta.

“Kenaikan harga komoditi di pasaran dunia yang disebabkan kekurangan bekalan minyak sawit mentah dan impak COVID-19 turut melahirkan peluang untuk anak-anak tempatan yang ingin ‘berhijrah’ ke sektor perladangan, terutamanya generasi kedua FELCRA yang ingin berbakti ke tanah meneruskan legasi ibubapa mereka.

“FELCRA terus komited dalam menyediakan sehingga 2,500 peluang pekerjaan sebagai Operator Penuaian di seluruh Negara untuk memenuhi keperluan penuaian dan pengurusan pokok, dengan menawarkan pulangan yang lumayan serta pelbagai insentif bagi mereka yang berminat,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan