EKONOMI

CCUS: SEKTOR BAHARU SUMBANG KEPADA DIVERSIFIKASI EKONOMI NEGARA

16/07/2024 04:50 PM

Oleh Anis Nabilla Md Wazilah

KUANTAN, 16 Julai (Bernama) -- Industri pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) berupaya menjadi sektor baharu yang menyumbang kepada diversifikasi ekonomi negara khususnya negeri terlibat sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada industri minyak dan gas.

Pengarah Kanan Pusat Pengurusan Strategik dan Kualiti Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Prof Madya Ts Dr Herma Dina Setiabudi berkata projek itu juga dilihat mampu menarik pelaburan asing daripada pelabur global yang mengutamakan kelestarian alam sekitar.

Herma Dina yang juga pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses UMPSA berkata inisiatif itu tentunya mewujudkan peluang pekerjaan selain meningkatkan teknologi dan inovasi sedia ada di negara ini.

"Projek CCUS memerlukan tenaga kerja mahir dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan, sains alam sekitar dan teknologi maklumat yang boleh mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada penduduk tempatan.

"Malah, pembangunan dan pelaksanaan CCUS memerlukan teknologi canggih selain inovasi yang boleh mendorong peningkatan keupayaan teknikal dan kejuruteraan serta integrasi industri huluan dan hiliran petroleum dan petrokimia," katanya kepada Bernama.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata CCUS sebagai antara projek rintis dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan merupakan industri berimpak tinggi dan dijangka memberi limpahan ekonomi kepada negeri yang terlibat.

Rafizi berkata kerajaan setakat ini mengenal pasti empat negeri iaitu Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak yang berpotensi menjadi peneraju dalam industri CCUS di negara ini berikutan negeri berkenaan mempunyai telaga minyak yang sudah tidak digunakan selain memiliki fasiliti terminal sedia ada bagi menjalankan aktiviti CCUS.

Mengenai langkah untuk mempersiapkan kerajaan negeri dengan industri CCUS, Herma Dina berpandangan bahawa pihak berkaitan perlu mengenal pasti dan menguruskan potensi risiko seperti kebocoran karbon dioksida ke persekitaran, dengan menyediakan dasar dan prosedur yang ketat untuk pengurusan keselamatan dan perlindungan alam sekitar.

Beliau berkata antara inisiatif lain adalah mewujudkan polisi dan peraturan yang menyokong penggunaan dan pengembangan teknologi CCUS, termasuk kemudahan proses pentadbiran dan pengurusan yang berkaitan.

"Selain itu, kesedaran awam mengenai manfaat CCUS perlu dipertingkatkan menerusi kempen maklumat dan pendidikan. Malah, kerajaan boleh melakukan kolaborasi dengan universiti dan pihak industri bagi menjalankan kajian berkaitan serta menyediakan platform untuk latihan tenaga kerja," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang Datuk Mohamad Nizar Najib ketika dihubungi berkata kerajaan negeri sentiasa terbuka dan menyokong agenda karbon sifar negara menjelang 2050.

Bagaimanapun, beliau berkata kaedah dan teknologi ini masih baharu di Pahang dan perlu dilihat dengan lebih terperinci dengan kerajaan Persekutuan mahupun pemain industri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan