JENAYAH & MAHKAMAH

Sepasang kekasih didakwa bunuh kanak-kanak lelaki di Kota Tinggi

05/01/2023 05:59 PM

BATU PAHAT, 5 Jan (Bernama) -- Sepasang kekasih dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki di Felda Semenchu, Teluk Sengat, Kota Tinggi, Disember tahun lepas.

Mohamad Izwan Mahmood, 25, dan remaja perempuan berusia 16 tahun didakwa dengan niat bersama membunuh kanak-kanak lelaki berumur empat tahun itu antara 8 pagi hingga 2 petang, pada 23 Dis 2022.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua penganggur itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos manakala kedua-dua tertuduh yang merupakan rakan kepada kakak mangsa, tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 22 Feb ini untuk sebutan semula kes dan serahan laporan bedah siasat.

Di mahkamah berasingan, kakak kepada kanak-kanak itu, Nurul Natashah Danial @ Zainal, 19, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menganiaya adik lelakinya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Suri rumah itu yang dipertanggungjawab menjaga adiknya didakwa melakukan perbuatan terbabit di Senggarang, Batu Pahat antara 10 pagi hingga 10 malam, antara November hingga Disember 2022.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM25,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Nurasidah A Rahman menetapkan 12 Jan bagi pendengaran permohonan jaminan oleh peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili tertuduh manakala 26 Jan ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Pada 26 Dis, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, selepas tiga hari dimasukkan ke hospital berkenaan, dipercayai didera oleh kakak dan rakan kakaknya.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan