EKONOMI

KUSKOP TINGKAT HAD PEMBIAYAAN MAKSIMUM SKIM PEMBIAYAAN KONTRAK-I SEHINGGA RM200,000

28/01/2023 02:55 AM

PENSIANGAN, 27 Jan (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) menaikkan had pembiayaan maksimum Skim Pembiayaan Kontrak-i sehingga RM200,000 bermula bulan ini.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata kenaikan had maksimum pembiayaan itu dilaksanakan selepas mengambil kira maklum balas serta nilai perolehan kerja bagi kontraktor G1 bernilai RM200,000 dan ke bawah. 

"Skim ini membolehkan pembiayaan segera kepada usahawan yang mendapat kontrak kerja atau pembekalan diperoleh daripada kerajaan Persekutuan, negeri, agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan mencagarkan kontrak kerja tersebut dengan nilai pembiayaan sehingga RM200,000.

"Tahun ini, TEKUN telah memperuntukkan RM200 juta dengan sasaran lebih 3,100 usahawan akan menerima manfaat ini," katanya ketika berucap merasmikan Pejabat TEKUN cawangan Pensiangan di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Arthur Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan.

Sementara itu, Ewon berkata program Groom Big akan membantu usahawan TEKUN, yang berkelayakan dan mempunyai rekod bayaran balik, untuk mendapatkan pembiayaan melebihi RM100,000 daripada agensi lain di bawah KUSKOP.

Beliau berkata sehingga kini, melalui Groom Big seramai 113 usahawan TEKUN mendapat pembiayaan daripada PUNB, Bank Rakyat dan SME Bank dengan jumlah pembiayaan RM17 juta.

Menurtnya TEKUN juga memberi pembiayaan kepada 28 usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang layak dengan nilai pembiayaan RM926,000.

Dalam pada itu, sejak ditubuhkan pada 1998 hingga tahun lepas, TEKUN telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM8.05 bilion kepada 543,657 usahawan melalui 170 cawangannya di seluruh negara.

Ewon berkata bilangan itu termasuk pembiayaan kepada 23,017 peniaga masyarakat India bernilai RM396.8 juta di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) manakala bagi Sabah, TEKUN telah menyalurkan RM831.9 juta kepada 58,516 usahawan sejak 1998 sehingga kini. 

TEKUN juga memberi pembiayaan kepada golongan sasar seperti orang kelainan upaya (OKU), bekas banduan, bekas penagih dadah dan masyarakat Siam yang memperoleh taraf warganegara. 

"Sehingga kini, TEKUN membuat kutipan bayaran RM6.1 bilion dan jumlah itu telah dipinjamkan semula sebagai pembiayaan kepada usahawan menjadikan jumlah keseluruhan pembiayaan dari TEKUN ialah RM8.05 bilion berbanding peruntukan yang disediakan RM4 bilion," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan