AM

26,039 USAHAWAN KAUM INDIA TERIMA PEMBIAYAAN TEKUN NASIONAL RM396.8 JUTA BAGI TEMPOH 2008-2022

28/03/2023 04:59 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Seramai 26,039 orang usahawan kaum India telah menerima pembiayaan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional melibatkan peruntukan sebanyak RM396.8 juta sejak 2008 hingga tahun lepas, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Senator Saraswathy Kandasami berkata bagi tahun 2023, peruntukan sebanyak RM30 juta telah disediakan yang dijangka akan memberi manfaat kepada seramai 1,800 orang usahawan kaum India.

“Bagi peningkatan produktiviti dan daya saing produk seperti penambahbaikan pelabelan dan pembungkusan produk serta peningkatan akses pasaran, SME Corp juga menyediakan bantuan di bawah Skim Peningkatan Keupayaan PKS (BAP).

“Bagi tahun 2021 dan 2022, sejumlah 11 orang usahawan kaum India telah mendapat manfaat daripada program ini dengan nilai kelulusan geran berjumlah RM1.4 juta,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, katanya kementerian dan agensi-agensi di bawahnya merekodkan seramai 1,942,793 orang usahawan wanita yang telah mendapat manfaat daripada pelbagai program pembangunan usahawan yang telah dilaksanakan.

Beliau berkata antaranya ialah program TEKUNNita di bawah TEKUN Nasional, program UDA Bizznita di bawah UDA Holdings serta program pembiayaan dan latihan di bawah Bank Rakyat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan