AM

KUSKOP SALUR GERAN PEMBIAYAAN LEBIH RM38 JUTA KEPADA USAHAWAN DI N. SEMBILAN

22/06/2023 06:36 PM

NILAI, 22 Jun (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyalurkan geran pembiayaan dan bantuan perniagaan sebanyak RM38,779,995 kepada usahawan dan koperasi di Negeri Sembilan.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata inisiatif itu melibatkan kerjasama SME Bank, Amanah Ikhtiar Malaysia, SME Corp Malaysia, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Bank Rakyat.

Katanya pembiayaan diberikan pada Program Jelajah Usahawan dan Koperasi MADANI (PJUKM) negeri ini bersempena penganjuran Karnival Negeri Sembilan (NS Fest 2023)

"PJUKM merupakan inisiatif KUSKOP bagi mewujudkan ekosistem keusahawanan inklusif disamping pendedahan serta maklumat berkenaan program dan inisiatif kementerian dan agensi. 

"Secara tidak langsung program ini dapat memperkasakan agenda keusahawanan dalam kalangan usahawan di peringkat negeri," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran NS Fest 2023 yang disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata kerajaan negeri menyasarkan 500,000 pengunjung sempena NS Fest kali ini yang bermula hari ini sehingga Ahad.

Beliau berkata buat julung kalinya, tiga kementerian bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menjayakan NS Fest kali ini iaitu KUSKOP, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), serta Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah.

"Penganjuran festival ini  bertepatan bagi membuka peluang dan ruang yang luas kepada usahawan, warga peladang, penternak dan nelayan bagi pengembangan serta peningkatan hasil usaha masing-masing," katanya.

Antara tarikan festival kali ini ialah NS Food Fest dengan pelbagai pilihan cita rasa unik dan tersendiri daripada 45 usahawan dan pengusaha makanan di negeri ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan