AM

PEMBIAYAAN TEKUN BANTU USAHAWAN KEMBANG PERNIAGAAN

09/08/2023 09:21 PM

KUALA TERENGGANU, 9 Ogos (Bernama) -- Pelbagai bentuk pembiayaan yang disediakan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional bukan sahaja memberi peluang kepada usahawan memulakan perniagaan, malah membantu mereka mengembangkan perusahaan ke peringkat lebih tinggi.

Pengusaha restoran Mohd Sukeri Mohd Yusof, 51, dari Kampung Paya Datu, Manir, di sini berkata pembiayaan yang diperoleh daripada TEKUN Nasional amat membantu peniaga kecil sepertinya dalam membina perniagaan yang lebih kukuh.

Katanya beliau membuat pinjaman daripada agensi itu sebanyak RM50,000 pada 2001 untuk memulakan perniagaan dalam bidang katering.

Menurutnya walaupun tidak mempunyai jaminan dan cagaran, beliau berjaya mendapatkan pembiayaan dengan mudah berkat bantuan dan kerjasama kakitangan TEKUN Nasional.

"Hari ini saya terima pembiayaan baharu sebanyak RM30,000 yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri. Memang teruja dan gembira.

"Pembiayaan ini akan saya manfaatkan untuk perbesarkan kedai dan membeli peralatan yang berkaitan," katanya ketika ditemui pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Usahawan TEKUN Nasional di sini hari ini

Seramai 1,000 usahawan menyertai perjumpaan itu yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan Pengerusi TEKUN Nasional Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Sementara itu, usahawan makanan segera dan sejuk beku Anita Amri, 48, berkata beliau amat terhutang budi dengan TEKUN Nasional yang  sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada peniaga.

Beliau yang berasal dari Kampung Tok Kaya di sini, berkata sudah membuat lima kali pinjaman dengan pembiayaan terbesar sebanyak RM100,000 pada tahun lepas.

"TEKUN Nasional bukan sahaja menyediakan pembiayaan untuk usahawan, tetapi polisi dan kaedah bayaran balik yang dilaksanakannya mendidik usahawan dalam menguruskan perbelanjaan.

"Setiap ringgit yang diterima daripada TEKUN Nasional saya manfaatkan untuk pembangunan perniagaan. Saya akan terus menggunakan khidmat agensi itu pada masa akan datang," katanya.

Pada pembentangan Belanjawan Malaysia MADANI 2023 Februari lepas, kerajaan meluluskan peruntukan RM330 juta kepada TEKUN Nasional untuk membantu usahawan memulakan dan mengembangkan perniagaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan