AM

FESTIVAL KRAF BORNEO DI SABAH SASAR NILAI JUALAN RM1.1 JUTA

25/08/2023 09:24 PM

KOTA KINABALU, 25 Ogos (Bernama) -- Festival Kraf Borneo (FKB) 2023 yang bermula semalam hingga 10 Sept ini, menyasarkan kutipan jualan sebanyak RM1.1 juta dengan sasaran kehadiran pengunjung 30,000 orang.

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) dalam kenyataan hari ini memaklumkan seramai 60 usahawan kraf dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung menyertai festival berkenaan.

Bertemakan ‘Ini Kraf Malaysia’, FKB 2023 mengetengahkan kehalusan pertukangan kraf Malaysia khususnya komuniti kraf negeri Sabah dan Sarawak melalui pelbagai pengisian aktiviti yang komprehensif.

Menurut Kraftangan Malaysia, tahun ini FKB memberikan fokus kepada produk kraf aksesori dan gaya hidup yang dijadikan sebagai pelengkap keperluan untuk pilihan kepada pembeli.

“Berkonsepkan aspirasi Malaysia MADANI yang sinonim dengan etnik Sabah dan Sarawak, kepelbagaian etnik dan budaya ditampilkan melalui keunikan dan keindahan produk kraf.

“Festival ini memberi peluang kepada komuniti kraf Sabah dan Sarawak memasarkan produk kraf tempatan dan sebagai tempat pertemuan peniaga, pengusaha dan pemborong kraf seluruh Malaysia, khususnya Borneo,” katanya.

Penganjuran FKB 2023 melalui Kraftangan Malaysia dapat merancakkan lagi ekonomi usahawan serta komuniti kraf di samping memberi limpahan manfaat secara langsung kepada rantaian nilai sektor pelancongan negeri Sabah.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan