POLITIK

PRK SG BAKAP: JOOHARI MILIKI BANYAK KELEBIHAN- PENGANALISIS

26/06/2024 11:55 AM

Oleh R. Ratcharathan

NIBONG TEBAL, 26 Jun (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap Dr Joohari Ariffin mengakui beliau menggalas tugas berat bagi merealisasikan hasrat kepimpinan tertinggi parti merampas kembali kerusi DUN itu.

Joohari pada sesi Ramah Mesra Bersama Media pada Ahad lepas berkata memandangkan kerusi itu bukan bersifat status quo, beliau perlu bekerja lebih keras untuk memenangi semula kerusi berkenaan yang merupakan kubu kuat PKR selama tiga penggal sejak 2008 sebelum bertukar tangan kepada PAS tahun lepas. 

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika ditemui selepas proses penamaan calon Sabtu lepas berkata PRK berkenaan mampu menjadi medan terbaik buat PH mencipta kejutan merampas kembali kerusi itu, seterusnya menyumbang kepada pengukuhan Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang.

Persoalannya mampukah bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara itu merealisasikan harapan tinggi berkenaan?  

Penganalisis politik Prof Dr Jayum Anak Jawan berkata bekas guru itu mampu dan berkebolehan untuk memecahkan status quo kerusi DUN berkenaan kerana beliau bukannya calon tanpa kelebihan atau 'underdog', sebaliknya mempunyai sokongan daripada parti pemerintah di peringkat Persekutuan mahupun negeri.

Beliau berkata PRK DUN Sungai Bakap bukan pertandingan antara calon semata-mata, tetapi dilihat sebagai medan pertaruhan parti-parti politik Melayu yang bersaing untuk memikat pengundi Melayu.

“Ia antara PKR (+ UMNO) lawan Bersatu (+ PAS). Kemenangan kepada PKR dan PH akan suntik semangat bahawa sokongan Melayu mula beralih kepada PKR dan PH. Ia juga menjadi medan pertaruhan sokongan Melayu kepada PKR dan PH,” kata pensyarah Sains Politik Universiti Putra Malaysia itu kepada Bernama.

Beliau yang juga Felo Akademi Sains Malaysia berkata persaingan satu lawan satu antara PH dan Perikatan Nasional (PN) tanpa calon ketiga membuktikan tiada pihak ketiga yang mampu menggugat barisan parti pemerintah dan pembangkang menyusun strategi dalam PRK itu.

Turut senada pensyarah kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia Jamaie Hamil yang menyifatkan peluang Joohari memecahkan status quo kerusi DUN Sungai Bakap yang dilihat sebagai ‘kawasan kelabu’ adalah cerah, namun bergantung kepada beberapa faktor.

“Pertama perlu dilihat bagaimana kempen dimainkan oleh Kerajaan Perpaduan untuk memberi keyakinan kepada pengundi supaya memberi kemenangan kepada mereka. Kedua, perlu ditekankan kenyataan bahawa jika PAS menang di kawasan itu sekalipun, ia tidak boleh berbuat apa-apa kerana kerajaan negeri (Pulau Pinang) berada di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Ketiga, jika dilihat kepada negeri-negeri yang diperintah PN, tidak nampak ada kemajuan atau langkah-langkah yang boleh mencabar negeri-negeri di bawah khemah Kerajaan Perpaduan termasuk di Sabah dan Sarawak. Jika track record itu berjaya diyakinkan oleh jentera Perpaduan, maka ia kelebihan kepada calon PH.

“Jika kita lihat sejarah di Sungai Bakap pada PRU lepas, persaingan sebenarnya berlaku antara PKR dan Barisan Nasional (BN), bukan dengan PAS. PAS sebenarnya tidak memberi saingan pun kepada PKR sebelum ini,” katanya.

Pemerhati politik itu juga berpandangan ketiadaan calon bebas atau parti politik kecil yang lain dalam PRK berkenaan disebabkan mereka serik dengan tujuh PRK sebelum ini yang membuktikan persaingan sebenar hanya antara parti kerajaan dan pembangkang, sekali gus menunjukkan mereka sebagai tidak relevan dalam gelanggang sesuatu PRK.

Joohari dicabar Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili PN dalam pertembungan satu lawan satu pada PRK DUN Sungai Bakap 6 Julai ini, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Kerusi DUN Sungai Bakap yang merupakan satu daripada tiga DUN di bawah Parlimen Nibong Tebal, mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan