AM

Tpm Fadillah Santai Sihat Bersama Lebih 2,000 Warga Agrikomoditi

09/12/2023 02:05 PM

PUTRAJAYA, 9 Dis (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, hari ini menyertai lebih 2,000 peserta dalam acara ‘Agrikomoditi Walk’ sejauh lima kilometer sempena Hari Agrikomoditi Negara (HAKN) 2023, di Persiaran Perdana di sini.

Terdahulu bercakap kepada pemberita Fadillah berkata program bermula 7 pagi itu, bertujuan membudayakan amalan hidup sihat dalam kalangan warga Kementerian Perladangan Dan Komoditi (KPK), serta agensi di bawahnya dan orang ramai yang turut menyertai.

Selain itu, beliau berkata ia juga bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai peranan KPK, di samping keutamaan komoditi dan produk komoditi negara iaitu sawit, getah, kayu kayan, koko, lada dan kenaf.

Agrikomoditi Walk 2023 merupakan sebahagian daripada program sempena HAKN anjuran KPK, yang dilancarkan Fadillah di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC), minggu lepas.

Program Agrikomoditi Walk itu, dimeriahkan lagi dengan beberapa aktiviti riadah seperti senamrobik dan zumba, persembahan daripada buskers Suka Buka, pameran agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dan Komoditi (KPK), serta pelbagai cabutan bertuah menarik.

Antara agensi yang membuat pameran bermula pukul 7 pagi Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Lembaga Getah Malaysia, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia dan Lembaga Koko Malaysia serta 13 agensi lain.

“Kementerian akan meneruskan komitmen untuk memastikan sektor agrikomoditi kekal relevan sebagai tunjang utama ekonomi negara, di samping menghargai dan mengiktiraf semua pihak yang terlibat dalam sektor agrikomoditi negara,” katanya sambil menambah program riadah tersebut juga merupakan antara acara tahunan kementerian itu.

Sementara itu, Mohd Nur Mikael Hanafi, 10, ketika ditemui Bernama selepas menamatkan Agrikomoditi Walk berkata acara sedemikian sentiasa ditunggu-tunggu.

“Saya suka berjoging atau melakukan apa saja senaman dan hari ini istimewa sedikit sebab berlari sambil beriadah bersama ibu, yang merupakan kakitangan KPK dan adik saya yang berusia tujuh tahun,” kata pelajar  Tahun Empat SK Kota Warisan itu.

Seorang kakitangan KPK Annis Ibrahim pula berkata program berjalan itu merupakan satu peluang yang ditunggu, kerana sering kesibukan melakukan tugas hakiki.

“Tugas saya yang banyak melibatkan pergerakan atau bertugas luar kawasan, jadi bila ada kesempatan untuk melakukan aktiviti sihat, saya tidak lepaskan peluang.

“Saya sendiri boleh melihat pameran dan mendapat maklumat lebih lanjut berkaitan agensi di bawah KPK bila melawat pameran yang ada, dan saya nak ajak yang lain pun boleh berbuat demikian. Beriadah sambil menambah ilmu berkenaan komoditi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fadillah berkata sektor komoditi masih merupakan penyumbang terbesar kepada pendapatan negara, mencecah RM120 billion setakat September 2023 dari hasil eksport.

“Walaupun keadaan mencabar dari segi ekonomi dunia, segi geopolitik kita (KPK) masih menyumbang sebahagian besar kepada negara kalau bandingkan dari tahun lepas agak menurun tetapi dari segi isi padu, jumlah masih kekal.

“Sebab pertukaran wang asing, dari segi nilai duit kurang sikit tetapi sumbangan dari sektor komoditi kita sangat baik,” katanya.

Beliau berkata antaranya pada Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) yang diadakan selama empat hari pada Mac, telah menjana jualan lebih RM1.2 bilion.

MIFF ialah pameran perdagangan perabot berorientasikan eksport terbesar dan terkemuka di Asia Tenggara, mempamerkan koleksi terluas perabot kayu buatan Malaysia, perabot rumah dan perabot pejabat.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan