JENAYAH & MAHKAMAH

Pemandu Lori Ditahan Bantu Siasatan Seleweng 1,500 Liter Diesel Bersubsidi

17/02/2024 03:19 PM

KUANTAN, 17 Feb (Bernama) -- Seorang pemandu lori yang disyaki terlibat dalam aktiviti menyeleweng minyak diesel bersubsidi nekad memecut kenderaannya dalam keadaan nozel pam masih berada pada tangki minyak selepas menyedari kehadiran penguat kuasa di stesen minyak tersebut. 

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang Jezlily Jamaluddin berkata kejadian berlaku di sebuah stesen minyak di Jalan Sungai Lembing di sini, sekitar 9 malam tadi, semasa pegawai penguat kuasa melakukan rondaan Op Tiris di daerah ini. 

"Lori bonded tiga tan itu berjaya ditahan kira-kira 500 meter dari stesen minyak namun pemandu lori yang berusia dalam lingkungan 30-an cuba melarikan diri sebelum ditahan anggota bertugas di hadapan lot kedai berhampiran. 

"Pemeriksaan terhadap lori menemukan sebuah tangki keluli tambahan yang disambung dengan tangki asal kenderaan dipercayai digunakan bagi aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini. 

Jezlily berkata pihaknya menemukan 1,500 liter minyak diesel dengan nilai keseluruhan rampasan ialah RM61,775. 

Pemandu lori direman sehingga empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan