AM

Pasar Besar Jertih Dibuka, Penantian Peniaga Di Jertih Souq Berniaga Di Pasar Baharu Berakhir

24/02/2024 02:01 PM

JERTIH, 24 Feb (Bernama) -- Penantian 74 peniaga di Jertih Souq dan di sekitarnya selama hampir lapan tahun untuk berniaga di ruang yang lebih selesa, berakhir apabila Pasar Besar Jertih sudah mula beroperasi secara rasmi hari ini.

Sebelum ini peniaga makanan sekitar kawasan itu terpaksa beroperasi di ruang parkir kereta di bahagian bawah Jertih Souq, dan perniagaan di kawasan itu sering terjejas terutama ketika musim banjir apabila banyak barangan jualan mereka musnah, dan tidak ramai pelanggan yang datang.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata bangunan dua tingkat Pasar Baru Jertih yang siap dibina akhir tahun lepas itu akan memberi lebih keselesaan kepada peniaga dan pengunjung untuk mendapatkan pelbagai keperluan harian mereka.

“Mengikut jadual asal, pembinaan pasar ini sepatutnya siap April 2019, namun (tertangguh) disebabkan beberapa masalah teknikal dan kekangan COVID-19… tetapi akhirnya ia berjaya disiapkan juga dengan kos RM6 juta.

“Pasar ini dibina bersebelahan Jertih Souq sejak Disember 2017, mempunyai 74 lot niaga terdiri daripada pelbagai ruang jualan seperti gerai makanan basah, kedai makan dan pakaian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pasar berkenaan, di sini hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Sukeri Ibrahim dan kepimpinan daerah Besut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan