DUNIA

Paus Francis Lawat Singapura Dari 11 Hingga 13 Sept

12/04/2024 11:10 PM

SINGAPURA, 12 April (Bernama) -- Paus Francis dijadualkan melawat Singapura dari 11 hingga 13 Sept depan, kata "Archdiocese" Roman Katolik Singapura. 

Menurut Vatican News memetik Pejabat Akhbar Holy See, lawatan itu merupakan sebahagian daripada lawatan beliau ke empat negara termasuk Jakarta, Indonesia (3 hingga 6 Sept), Port  Moresby dan Vanimo, Papua New Guinea (6 hingga 9 Sept) dan Dili, Timor Leste (9 hingga 11 Sept). 

Ketua Biskop Singapura Kardinal William Goh berkata beliau berharap lawatan itu akan membawa  semangat baharu kepada semua penganut katolik di negara ini. 

“Sudah 38 tahun sejak kami menerima lawatan ‘Vicar of Christ’ ke Singapura, apabila Paus John Paul II datang melawat kami pada 20 Nov 1986.

Adalah menjadi harapan saya dengan lawatan Bapa Suci, Paus Francis akan membawa semangat baharu kepada semua penganut Katolik, menyatukan mereka dalam  keimanan dan misi, terutamanya dalam waktu yang paling mencabar, katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Pejabat Komunikasi Ketua Biskop, pada Jumaat.

Selain daripada libat urus rasmi dengan kerajaan, acara utama yang dijangka dalam lawatan Paus Francis ialah sambutan “Eucharistic” dengan jemaahnya pada 12 Sept.

Butiran mengenai lawatan itu masih lagi dibincangkan dengan Kerajaan Singapura, Holy See dan pegawai gereja tempatan, menurut kenyataan itu. 

Maklumat lanjut mengenai lawatan itu akan dikeluarkan secara berperingkat di www.popefrancis2024.sg

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan