AM

Utp Melonjak Dalam Qs World University Rankings Mengikut Subjek 2024

13/04/2024 10:00 AM

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) mencatatkan kemajuan luar biasa dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings mengikut Subjek 2024, suatu pencapaian signifikan yang menyeluruh.

UTP dalam kenyataan hari ini memaklumkan universiti berkenaan kini disenaraikan di bawah dua subjek umum iaitu Kejuruteraan dan Teknologi serta Sains Semula Jadi (penyertaan baharu tahun ini) selain lapan subjek cemerlang yang mendaki ranking berbanding tahun lepas.

“Peningkatan paling menonjol ialah Subjek Umum - Kejuruteraan dan Teknologi, yang melonjak 25 anak tangga daripada kedudukan ke-200 pada 2023 kepada kedudukan ke-175 pada 2024. Kejuruteraan Petroleum disenaraikan pada ranking ke-20 dunia, manakala Kejuruteraan Mineral dan Perlombongan meningkat daripada ke-49 kepada ke-41 dalam ranking tahun ini,” menurut kenyataan itu.

UTP turut meraikan satu lagi kejayaan apabila kedua-dua Kejuruteraan Awam dan Kejuruteraan Mekanikal masing-masing memperoleh ranking dalam 150 Terbaik dan 200 Terbaik, manakala Kejuruteraan Kimia pada ranking 150 Terbaik, dan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik mengekalkan kedudukan yang kukuh pada 200 Terbaik.

Sementara Sains Komputer dan Sistem Maklumat meningkat kepada 400 Terbaik daripada kedudukan sebelum ini 450 Terbaik.

Bagi subjek-subjek bukan Kejuruteraan dan Teknologi, UTP turut merekodkan peningkatan ketara dalam ranking tersebut iaitu Sains Bahan kini di kedudukan 300 Terbaik (meningkat daripada 301-350), Kimia pada 350 Terbaik (meningkat daripada 351-400) dan Fizik pada 450 Terbaik (meningkat daripada 510-550).

Naib Canselor UTP Prof Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata pihaknya sangat gembira melihat kemajuan mengagumkan universiti itu dalam ranking mengikut subjek, dan peningkatan signifikan meliputi pelbagai bidang membuktikan komitmen tidak berbelah bahagi institusi itu dalam menyediakan pendidikan bertaraf dunia.

“Lonjakan luar biasa ranking Kejuruteraan dan Teknologi kami membuktikan dedikasi dan kepakaran fakulti, warga kerja dan pelajar. Pengiktirafan ini meletakkan UTP dalam kalangan institusi elit dunia untuk pendidikan kejuruteraan dan mengukuhkan lagi komitmen kami bagi mempersiapkan generasi akan datang dengan kemahiran untuk menyelesaikan cabaran global,” katanya.

Mohamed Ibrahim menambah status penyertaan baharu UTP dalam Sains Semula Jadi ialah satu pencapaian signifikan dan menyifatkan pengiktirafan itu mengakui kekuatan universiti tersebut dalam bidang-bidang berkaitan.

Hal itu juga katanya membuka jalan untuk kemajuan saintifik pada masa depan dan beliau berharap UTP dapat memanfaatkan momentum itu dan memberi sumbangan bermakna kepada penemuan saintifik.

“Ranking QS ini ialah pengesahan terhadap komitmen UTP untuk mencapai kecemerlangan. Universiti ini terus berdedikasi dalam menawarkan ilmu dan kemahiran kepada pelajar, bukan sahaja untuk berjaya dalam bidang pilihan mereka malah untuk menjadi pemimpin masa depan dalam dunia yang pantas berkembang.

“Pengiktirafan ini turut memberi keyakinan kepada calon pelajar berpotensi bahawa mereka memperoleh pendidikan bertaraf tinggi di UTP, sekali gus mempersiapkan mereka untuk kerjaya di tempat kerja berciri global,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan