AM

PAHANG PERUNTUK RM1 JUTA BAGI PROGRAM KESIHATAN KOMUNITI TAHUN INI - EXCO

20/04/2024 07:41 PM

KUANTAN, 20 April (Bernama) -- Sebanyak RM1 juta diperuntukkan untuk melaksanakan program kesihatan di seluruh Pahang pada tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Razali Kassim. 

Beliau berkata peruntukan itu akan disalurkan menerusi Program Komuniti Sihat Pembina Negara dan Karnival Kekal Sihat Pembina Negara serta Karnival Kekal Sihat COMBI KOSPEN Pahang (KOSPEN) bagi Jabatan Kesihatan Negeri bersama sukarelawan MyCHAMPION.

"Peruntukan ini bertujuan melaksanakan aktiviti kawalan dan pencegahan penyakit yang dianjurkan dalam bentuk karnival yang akan diperluaskan di setiap daerah di Pahang.

“Selain itu, penganjuran program seumpama ini juga dilihat dapat memberi kesedaran kepada penduduk Pahang supaya cakna dan peka dengan kesihatan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kekal Sihat Pahang dan 3rd Advanced Wound Healing Conference di sini, hari ini. 

Beliau turut menasihatkan masyarakat melakukan pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali terutama mereka yang berumur 40 tahun ke atas bagi mengetahui tahap kesihatan diri supaya langkah pencegahan dapat diambil.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Rusdi Abd Rahman ketika berucap memaklumkan masih ramai penduduk Pahang tidak menyedari mereka menghidap penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis (diabetes) dan darah tinggi (hipertensi).

Beliau berkata data itu diperoleh menerusi kajian Tinjauan Kebangsaan Kesihatan Morbiditi 2019 iaitu 262,249 penduduk Pahang dikesan mempunyai paras gula yang tinggi dalam darah dengan 165,213 daripadanya tidak tahu akan status penyakit kencing manis mereka.

Selain itu, beliau memberitahu sebanyak 303,347 penduduk mempunyai bacaan tekanan darah yang tinggi dengan 148,521 individu tidak tahu status penyakit itu. 

Berdasarkan program Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) di Pahang pada 2023 pula mendapati daerah Bentong merekodkan prevalens tertinggi bagi penyakit darah tinggi manakala penduduk Pekan untuk kencing manis.

"Kelewatan dalam pengesanan penyakit menyebabkan mereka berisiko mendapat komplikasi penyakit itu seperti kerosakan mata, buah pinggang, jangkitan teruk pada luka di kaki yang boleh menyebabkan ia terpaksa dipotong, strok atau angin ahmar dan serangan jantung," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan