AM

MENTERI LUAR MOHAMAD ADAKAN LAWATAN RASMI TIGA HARI KE CHINA

23/04/2024 11:01 AM

PUTRAJAYA, 23 April (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan lawatan rasmi ke China dari 23 hingga 25 April ini, yang pertama sejak beliau memegang jawatan itu pada Disember 2023.

Kementerian Luar dalam kenyataan pada Selasa berkata Menteri Luar akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Wang Yi di Beijing untuk membincangkan isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama. 

Pertemuan tersebut akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk menilai kemajuan kerjasama dua hala dan meneroka bidang kolaborasi baharu, menurut kenyataan itu.

Lawatan ini amat penting kerana Malaysia dan China meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara tahun ini serta ulang tahun ke-11 penaiktarafan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2013, menurutnya.

Mohamad juga dijadualkan bertemu dengan Liu Jianchao, Menteri Jabatan Antarabangsa Jawatankuasa Pusat dan pegawai-pegawai kanan lain dari Parti Komunis China serta akan mengadakan sesi libat urus dengan diaspora Malaysia.

China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia untuk lima belas tahun berturut-turut. Pada tahun 2023, jumlah dagangan antara Malaysia dan China bernilai RM450.84 bilion (USD98.80 bilion). 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan