JENAYAH & MAHKAMAH

PENGURUS SYARIKAT AGENSI PELANCONGAN HADAPI TUJUH PERTUDUHAN TERMASUK MILIKI SENJATA API

24/04/2024 02:49 PM

KOTA BHARU, 24 April (Bernama) -- Seorang pengurus syarikat agensi pelancongan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api, 15 April lepas. 

Tertuduh Hafizul Hawari, 38, memohon dibicarakan terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan pertama, Hafizul didakwa memiliki senjata api jenis pistol Glock 19 Austria, Made in Turkey yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 [Akta 37] yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali.

Pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki 33 butir amunisi PMC 380 AUTO tanpa lesen yang sah mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 [Akta 206] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 8 akta sama, yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan ketiga, Hafizul didakwa memiliki satu bungkusan plastik cerah mengandungi mercun bola tanpa permit mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dihukum di bawah akta yang sama yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh didakwa memiliki tiga kad pengenalan milik tiga individu berbeza, yang didakwa mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

Pertuduhan ketujuh pula, Hafizul didakwa memandu kereta jenis Honda Civic berwarna putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda minimum RM5,000 dan maksimum RM20,000 atau penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau kedua duanya sekali.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan dalam sebuah kereta Jenis Honda Civic di pekarangan sebuah hospital swasta di sini, pada 2 petang, 15 April 2024.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Kelantan Muhammad Zaki Abdul Kudos, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan Siti Edabayu Subhan manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Ahmad Faiz Fitri tidak mencadangkan sebarang jaminan dan memohon tertuduh menjalani perintah reman di Penjara Sungai Buloh.

Hafizul merayu supaya jaminan dibenarkan dan memohon untuk membuat panggilan telefon bagi urusan pelantikan peguam.

Nik Habri tidak membenarkan tertuduh diikat jamin bagi pertuduhan memiliki pistol, peluru dan mercun bola, namun membenarkan jaminan RM10,000 bagi tiga pertuduhan memiliki kad pengenalan individu lain dan RM10,000 untuk pertuduhan nombor pendaftaran kereta palsu.

Mahkamah membenarkan Hafizul direman di Penjara Sungai Buloh dan menetapkan 23 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes dan lantikan peguam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan