BERITA TERGEMPAR   Manufacturing sector increased by 1.9 per cent in 1Q 2024 after recording a contraction of 0.3 per cent in the previous quarter -- DOSM | 
 AM

PROGRAM MADANI RAKYAT ZON UTARA DI PULAU PINANG BERMULA HARI INI

03/05/2024 08:27 AM

GEORGE TOWN, 3 Mei (Bernama) -- Program MADANI Rakyat Zon Utara selama tiga hari di Tapak Pesta Sungai Nibong di sini membuka tirai hari ini dengan pelbagai acara dan program menarik buat pengunjung.

Tumpuan pastinya terarah kepada kaunter bayaran saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menawarkan diskaun hingga 50 peratus, penukaran topi keledar untuk 1,000 pengunjung terawal dan kaunter pendaftaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Program yang bermula dari 9 pagi hingga 10 malam itu turut menyediakan perkhidmatan Bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memudahkan orang ramai yang ingin memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) persendirian atau perdagangan.

 Hari ini, program yang menyasarkan 200,000 hingga 300,000 pengunjung itu akan dimulakan dengan Wacana Sifar Miskin Tegar dan diikuti dengan persembahan Kebudayaan Kementerian Pendidikan (KPM), Bakat Muda Generasi MADANI dan Pocket Talk JPJ (Cashless JPJ, Mudah dengan MyJPJ) di pentas utama.

Public Gold Talk, Busking Kementerian Dalam Negeri (KDN), KPM Edufluencer dan Pocket Talk Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air dengan tajuk 'Jimat Banyak dengan Rebat Barangan Elektrik Save 4.0' turut menghiasi hari pertama program tersebut.

Turut disediakan dalam program sehingga Ahad ini termasuk Jualan Mega MADANI dan Agro MADANI, pameran aset kerajaan, perkhidmatan bergerak seperti pemeriksaan dan rawatan pergigian, kempen derma darah, perkhidmatan kitar semula, perkhidmatan urutan terapi dan kosmetologi, selain mempunyai karnival kerjaya yang menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan acara penutup Program MADANI Rakyat Zon Utara pada Ahad, yang diadakan serentak dengan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 peringkat Pulau Pinang. 

Bagi memudahkan pergerakan orang ramai ke lokasi program hari ini, perkhidmatan feri Pulau Pinang secara percuma disediakan dari Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) di Butterworth ke Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) di George Town selain bas perantara percuma dari jeti PSAH, tapak parkir di Universiti Sains Malaysia (USM) dan pusat beli-belah Queensbay Mall.

Program MADANI Rakyat Zon Utara yang merupakan kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI, diperluaskan penganjurannya ke peringkat negeri mengikut zon bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk bersama-sama memahami, melihat dan menilai dasar serta inisiatif baharu yang dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Ia dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Pengangkutan dan kerajaan negeri merangkumi Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan