EKONOMI

MALAYSIA-ARAB SAUDI SETUJU TINGKATKAN PERDAGANGAN, PELUANG PELABURAN - ANWAR

07/05/2024 04:02 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Malaysia dan Arab Saudi bersetuju untuk mengukuhkan hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara dalam meningkatkan perdagangan dua hala serta mengembangkan peluang pelaburan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata persetujuan itu dicapai susulan kunjungan hormat daripada Menteri Perdagangan dan Pengerusi Pusat Daya Saing Negara Arab Saudi Dr Majid Al-Kassabi serta delegasi di Putrajaya, semalam, dengan kedua-dua negara turut bersetuju meningkatkan kerjasama dalam sektor baharu seperti perkhidmatan, teknologi dan inovasi. 

“Arab Saudi adalah rakan dagangan Malaysia yang paling penting di Asia Barat.

“Lawatan itu tepat pada masanya dalam mengekalkan momentum hubungan dua hala yang kukuh dan unik melalui kerjasama pragmatik dalam semua bidang, terutamanya dalam perdagangan dan pelaburan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan