EKONOMI

LEBIH BANYAK SYARIKAT JERMAN AKAN MELABUR DI MALAYSIA - CHANG

07/05/2024 05:03 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yakin lebih banyak syarikat Jerman akan memasuki Malaysia untuk melabur susulan pelaburan besar oleh Infineon Technologies AG baru-baru ini.

Menterinya Chang Lih Kang berkata hubungan dua hala terjalin antara Malaysia dan Jerman selama bertahun-tahun kini menjadi semakin lebih baik terutama selepas lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jerman baru-baru ini.

“Banyak syarikat Jerman yang bagus berada di Malaysia, termasuk Infineon dengan pelaburan besar yang diumumkan baru-baru ini.

“Jadi, saya menjangkakan lebih banyak syarikat Jerman (mempertimbangkan untuk) menyertai mereka di Malaysia dan berharap beberapa perniagaan kita juga dapat meneroka pasaran di Eropah melalui Jerman,” katanya kepada Bernama dan RTM selepas menyampaikan ucaptama di Forum Perniagaan Jerman-Malaysia di sini, pada Selasa.

Beliau berkata Malaysia perlu lebih memperkukuh sektor teknologi menerusi kerjasama dengan Jerman memandangkan Malaysia memiliki ekosistem yang agak lengkap untuk berbuat demikian.

“Saya berpendapat antara bidang yang kita boleh bekerjasama sudah tentu berkaitan teknologi contohnya dengan Infineon yang merupakan peserta utama dalam industri semikonduktor.

“Di Malaysia, kita mempunyai ekosistem yang agak lengkap terutama di Pulau Pinang. Jadi, saya berpandangan kita boleh bekerjasama dan menjalin kerjasama yang lebih erat dalam sektor semikonduktor,” katanya.

Semasa menyampaikan ucapatama, Chang berkata MOSTI telah bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan NVIDIA Corporation untuk melancarkan inisiatif sandbox kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata inisiatif itu akan memudahkan penubuhan sehingga 900 syarikat pemula niaga AI, dengan 13,000 bakat AI baharu akan dilatih pada 2026.

“Kami menyasar untuk mengubah Malaysia menjadi ekonomi berasaskan pengetahuan dengan menggunakan AI sebagai pemacu utama inovasi.

“Program ini bukan sahaja akan menyediakan peluang ekonomi baharu untuk rakyat Malaysia malah juga menggalakkan keusahawanan, menarik pelaburan asing dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dalam industri baharu dipacu AI,” katanya.

Beliau berkata potensi AI adalah boleh digunakan untuk meningkatkan produktiviti dalam pelbagai industri namun seperti juga mana-mana teknologi baharu yang akan mempunyai risiko apabila wujudnya peluang.

“Inilah sebabnya tadbir urus dan kod etika AI penting dalam mewujudkan peraturan dan parameter bagi teknologi untuk membolehkan orang ramai meraih manfaat daripadanya di samping menyedari risiko dan kesulitan yang tidak diduga,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan