AM

MENTERI PERLU SEGERA AMBIL KAMPUNG ANGKAT, SELAMI DAN SELESAI ISU SETEMPAT - FAHMI

08/05/2024 06:13 PM

PUTRAJAYA, 8 Mei (Bernama) -- Semua menteri perlu segera mengambil kampung angkat selaras dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar setiap pemimpin di negara ini termasuk perdana menteri dipertanggungjawabkan menjaga sebuah kampung, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata usaha itu bertujuan menyelami isu setempat dan menyelesaikan seberapa banyak masalah yang dihadapi penduduk.

Beliau berkata perkara itu ditegaskan Anwar dalam mesyuarat Kabinet hari ini dan diterima baik oleh semua Jemaah Menteri.

“Perdana Menteri minta supaya usaha ini dirancakkan. Erti mengambil kampung angkat adalah untuk seseorang menteri berusaha meneliti dan mendapatkan laporan mengenai perkembangan di kampung berkenaan secara keseluruhan.

“Beliau (Anwar) berharap supaya menteri dapat mengambil kampung angkat sama ada kampung sendiri atau tidak, tetapi dengan niat untuk menyelami isu-isu yang dihadapi penduduk setempat serta membantu menyelesaikan seberapa banyak isu yang dihadapi,”  katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama warga Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini, Anwar mahu Jemaah Menteri serta ketua-ketua jabatan mengemukakan nama kampung yang mereka akan wakili secepat mungkin bagi membantu usaha menaik taraf kehidupan penduduk di kampung berkenaan, terutama golongan miskin. 

Perkara itu telah dicadangkan oleh Anwar pada 21 Mac lepas ketika berucap pada program Bicara Eksekutif Malaysia MADANI Penjawat Awam 2024.

Sementara itu Fahmi berkata aspek tatakelola dan integriti dalam pentadbiran perkhidmatan awam akan diperluaskan ke peringkat agensi dan syarikat yang ditubuhkan di bawah kementerian bagi menambah baik aspek pengurusan secara keseluruhan.

“Ini susulan pelancaran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 baru-baru ini. Ini kerana didapati aspek tatakelola di peringkat kementerian adalah pada tahap yang baik dan memuaskan, tetapi kita inginkan supaya beberapa perkara ini turut disusuli di peringkat agensi dan anak syarikat termasuk CLBG (syarikat berhad menurut jaminan),” katanya.

NACS 2024-2028 dilancarkan Anwar semalam, yang memberi fokus terhadap keberkesanan usaha pencegahan rasuah. Ia komponen penting agenda reformasi Malaysia yang menggariskan strategi-strategi teras secara menyeluruh dalam usaha pencegahan rasuah di Malaysia. 

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan