AM

ANGGOTA MALBATT MENINGGAL DUNIA DI LUBNAN

19/05/2024 04:09 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Pegawai Tidak Tauliah Kanan dari Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), Sarjan Faridah Abd Rahman disahkan meninggal dunia pada 2.25 pagi waktu Lubnan, semalam (7.25 pagi waktu Malaysia).

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Allahyarhamah yang berumur 36 tahun bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam MALBATT 850-11 di Kem Marakah, Lubnan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan MALBATT 850-11 apabila rebah setelah turun dari bas di Kem Marakah.

Menurut kenyataan itu, Allahyarhamah yang berasal dari Pendang, Kedah itu baru kembali bertugas setelah bercuti di Malaysia.

“Jenazah Allahyarhamah akan dihantar ke Hospital Hammoud, Saida di Lubnan untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian. Proses bedah siasat akan dilaksanakan hari ini iaitu pukul 3.30 petang waktu Malaysia,” menurut kenyataan.

Allahyarhamah mula berkhidmat dalam ATM pada 2007 dan ditugaskan di dalam Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) dan bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam di Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kedah sebelum diatur gerak menyertai Misi MALBATT 850-11 UNIFIL, menurut kenyataan itu.

Allahyarhamah telah mendirikan rumah tangga serta mempunyai empat orang anak iaitu tiga perempuan dan seorang lelaki berusia antara empat hingga 10 tahun.

“Markas Angkatan Bersama (MK AB) yang berperanan menyelaraskan semua keperluan operasi dan misi ATM di luar negara termasuk atur gerak MALBATT 850-11 bagi Misi UNIFIL akan menguruskan proses penghantaran pulang jenazah Allahyarhamah ke Malaysia dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kemudian,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan