AM

ULANG TAHUN KE-57: BERNAMA TERUS TEGUH SEBAGAI PENERAJU INDUSTRI MEDIA - RAMANAN

20/05/2024 03:29 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Selepas pelbagai peristiwa penting dan perubahan besar dalam dunia kewartawanan dan komunikasi, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) terus teguh sebagai peneraju dalam industri media, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R.Ramanan.

Beliau berkata Bernama yang ditubuhkan 57 tahun lepas dengan visi dan misi untuk menyediakan perkhidmatan berita yang berintegriti, berkualiti dan boleh dipercayai, telah berkembang pesat dan menjadi sumber berita utama bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa. 

“Melalui pelbagai platform media seperti televisyen, radio, dan perkhidmatan berita dalam talian, Bernama sentiasa komited menyampaikan berita yang sahih, cepat dan relevan kepada masyarakat.

“Inilah bukti dedikasi dan usaha gigih semua kakitangan khususnya wartawan Bernama yang berkerja tanpa mengenal penat lelah,” katanya dalam hantaran di Facebook sempena ulang tahun ke-57 Bernama hari ini.

Ramanan turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga Bernama khususnya Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj. 

"Tidak dilupakan para wartawan dan seluruh warga kerja Bernama yang selalu memberikan sokongan padu dengan membuat liputan media saya sepanjang perjalanan ini. Tanpa sokongan dan kerjasama anda semua, tidak mungkin maklumat yang sahih mampu disampaikan kepada pembaca.

“Sekali lagi, saya ucapkan Selamat Ulang Tahun ke-57 kepada Bernama. Semoga terus maju jaya dan gemilang," katanya.

Sementara itu Kementerian Komunikasi menerusi hantaran di Facebook turut mengucapkan selamat ulang tahun kepada Bernama.

"Bernama berperanan sebagai agensi berita yang menyalurkan liputan berita menyeluruh meliputi maklumat tepat, adil dan saksama demi kepentingan nasional," menurut hantaran itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan