AM

PEMBATALAN PERMIT PERSEMBAHAN SHARUL CHANNA AMBIL KIRA LAPORAN POLIS VIDEO BERKAIT ISU 3R

21/05/2024 12:43 AM

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Pembatalan permit persembahan pelawak terkenal Sharul Channa di Malaysia oleh Agensi Permohonan Penggambaran Filem Asing Dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL), dibuat setelah mengambil kira laporan polis berkaitan sebuah video lamanya, yang dikatakan menyentuh isu bangsa, agama dan institusi raja (3R).

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, PUSPAL telah menerima makluman dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), bahawa terdapat sejumlah laporan polis diterima berkait video lama oleh pelawak dari Singapura itu, yang dimuat naik semula baru-baru ini.

“Saya difahamkan, kerana video yang dimuat naik untuk mempromosikan persembahan itu dimuat naik baru-baru ini, dan akibat video yang dimuat naik itulah sejumlah laporan polis dibuat dan laporan polis itu dikatakan ia ada berkait isu 3R.

“Itu mungkin video lama, tapi laporan polis itu berkait isu 3R. Jadi PUSPAL telah mendapat maklumat itu dan membuat keputusan berdasarkan senario tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri malam gala dan sidang media Memoir Seorang Guru, di sini malam ini.

Sebelum ini, Sharul menerusi hantaran video di Facebook meluahkan kekecewaan apabila permit bagi pembabitannya untuk persembahan komedi, Just Joking di Petaling Jaya Live Arts Centre dibatalkan PUSPAL, dua hari sebelum acara itu berlangsung.

Fahmi berkata, tindakan diambil PUSPAL itu juga merupakan satu peringatan kepada artis dalam dan luar negara, agar tidak sama sekali menyentuh isu 3R yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

“Di Malaysia kalau kita sentuh isu 3R maka pihak berkuasa akan bertindak dan itu peringatan yang saya berikan sama ada kepada pengguna media sosial, kepada artis. Jadi isu ini adalah dalam bidang kuasa siasatan polis,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan