AM

TPM, MENTERI KABINET ZAHIR UCAPAN SELAMAT HARI WESAK

22/05/2024 11:35 AM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof bersama Menteri Kabinet menzahirkan ucapan Selamat Hari Wesak kepada semua penganut agama Buddha di negara ini.

Fadillah dalam hantaran menerusi Facebook berkata perayaan berkenaan diharap dapat menyatukan rakyat Malaysia dalam keamanan dan keharmonian serta mengeratkan perpaduan tanpa mengira perbezaan agama.

"Marilah bersama mengukuhkan kasih sayang dan kebaikan di mana jua kita berada," katanya.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata perbezaan kaum dan agama merupakan keunikan yang mengeratkan masyarakat majmuk di Malaysia.

"Sama-samalah kita pelihara keharmonian yang dikecapi," katanya.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching juga tidak melepaskan peluang mengucapkan Selamat Hari Wesak kepada semua yang menyambutnya dan berharap perayaan itu akan membawa keamanan dan kesejahteraan kepada semua.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dalam ucapan menerusi laman X berkata ajaran utama agama Buddha adalah sejajar dengan falsafah kesederhanaan yang diterapkan konsep Malaysia MADANI.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam hantarannya pula mengucapkan Selamat Hari Wesak kepada semua rakyat #MalaysiaMADANI yang beragama Buddha dan mendoakan sambutan tahun ini membawa kebahagiaan dan kesejahteraan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R.Ramanan berharap  sambutan Hari Wesak hari ini akan meningkatkan kesedaran masyarakat di negara ini untuk bersama-sama berusaha mempererat hubungan kaum dan agama dengan menyebarkan kasih sayang, keamanan dan kebersamaan. 

Penganut agama Buddha di Malaysia hari ini meraikan sambutan Hari Wesak bagi memperingati kelahiran, pencerahan agung serta kematian pengasas agama itu, Siddharta Gautama.

Sambutan itu merupakan cuti umum di Malaysia dan secara tradisi ia menyaksikan penganut berkumpul di kuil-kuil Buddha bagi menyanyikan lagu agama dan membawa simbol ikon Buddha semasa acara perarakan yang melambangkan kesucian seseorang.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut mengucapkan selamat Hari Wesak berkata Malaysia terkenal dengan keharmonian pelbagai kaum, budaya dan agama dan keunikan itu adalah aset penting yang perlu dipelihara serta dipertahankan oleh seluruh rakyat.

“Semoga perayaan ini dapat disambut dengan penuh kebahagiaan, kedamaian dan keharmonian,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu pula berkata Malaysia yang ada pada hari ini adalah hasil daripada kerjasama pelbagai kaum, agama dan budaya dalam memelihara keharmonian dengan saling tolong-menolong dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

“Kepelbagaian ini adalah kekuatan kita yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang unik. Kemesraan dan keharmonian yang kita kecapi sekian lama ini haruslah dijaga dan dipelihara oleh seluruh lapisan masyarakat.

“Saya mengucapkan selamat Hari Wesak kepada seluruh rakan-rakan penganut agama Buddha di Malaysia. Semoga disambut dengan penuh kedamaian dan keharmonian,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan